19 May 2014

Mahkamah Diberitahu Pasukan Keselamatan Rampas Pakaian Ada Perkataan Berkaitan Militan Sulu

KOTA KINABALU, 19 Mei (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa selepas satu pertempuran di Kampung Tanjung Batu, Lahad Datu tahun lepas, pasukan keselamatan merampas pakaian yang mempunyai perkataan berkaitan militan Sulu.

Pada hari kelima untuk membuat pengecaman terhadap barang yang dirampas pada 7 Mac 2013, ASP Mursalim Mohd Salleh mengenal pasti 18 baju-T, enam daripadanya bercorak celoreng, 10 berwarna putih, satu hitam dan satu kuning.

Katanya baju T celoreng itu mempunyai perkataan 'Royal Security Force' tertera di bahagian depan, manakala singkatan 'RSF' tertera di bahagian belakangnya.

Saksi ke-27 pendakwa itu, yang merupakan komander platun Pasukan Gerakan Am (PGA), berkata baju-T berwarna putih yang dirampas itu juga mempunyai perkataan 'Royal Security Force' serta perkataan 'North Borneo Sultanate Republic'.

Beliau mengenal pasti satu baju-T hitam dan satu baju-T kuning yang mempunyai perkataan 'Royal Sulu Force'.

Mursalim juga membuat pengecaman terhadap enam baju celoreng, tujuh seluar celoreng dan tiga but tinggi celoreng sebagai barang yang dirampas di kampung itu.

Tiga puluh tertuduh, terdiri daripada 27 rakyat Filipina dan tiga penduduk tempatan, dibicarakan dalam kes ini, dengan sesetengah mereka menghadapi pelbagai pertuduhan, termasuk menganggotai sebuah kumpulan pengganas atau melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, merekrut anggota untuk sebuah kumpulan pengganas atau secara sukarela melindungi individu yang mereka tahu menjadi anggota sebuah kumpulan pengganas.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu antara 12 Feb dan 10 April tahun lepas.

Pendengaran di hadapan hakim Stephen Chung di Jabatan Penjara Sabah bersambung esok.

-- BERNAMA

Bagikan

Jangan lewatkan

Mahkamah Diberitahu Pasukan Keselamatan Rampas Pakaian Ada Perkataan Berkaitan Militan Sulu
4/ 5
Oleh

Subscribe via email

Suka dengan artikel di atas? Tambahkan email Anda untuk berlangganan.