Showing posts with label pengajaran. Show all posts
Showing posts with label pengajaran. Show all posts

21 Jun 2014

Perkongsian Semasa Berkaitan Kesan Pengambilan Minuman Berkarbonat

Risiko dan bahaya minuman berkarbonat. Sekumpulan penyelidik dari Universiti Harvard menegaskan pengambilan satu gelas minuman berkarbonat setiap hari boleh memberi kesan terhadap serangan jantung.
Perkongsian

Kajian terhadap lebih 40,000 lelaki menunjukkan keputusan yang mengejutkan di mana kandungan gula dalam minuman berkarbonat meningkatkan risiko serangan jantung sehingga 20 peratus, dan boleh menyebabkan kematian.

Ketua penyelidik berpendapat pengambilan gula yang berlebihan akan menghasilkan lemak simpanan dan sesetengah daripadanya tidak baik untuk jantung. Ujian sampel darah yang dibuat pula menunjukkan mereka yang mengambil minuman bergula berpotensi memiliki protein serta lemak yang tinggi dalam darah dan boleh dikaitkan dengan serangan jantung. Paras kadar kolestrol yang baik pula akan menjadi rendah.

Kajian tersebut juga menunjukkan semakin banyak minuman manis yang diambil seseorang, termasuk jus buah-buahan diawet yang ditambah gula, ia boleh meningkatkan risiko serangan jantung sama seperti minuman berkarbonat. Keadaan menjadi lebih buruk apabila seseorang itu mempunyai amalan yang kurang sihat seperti merokok, pengambilan alkohol dan sebagainya.

Penyelidik membuat kesimpulan tersebut selepas menganalisis maklumat yang disediakan oleh responden melalui soal jawab khas setiap dua tahun, dari tahun 1986 sehingga tahun 2008.
Baca selengkapnya

16 Jun 2014

Remaja 15 dan 13 tahun dicekup berduan dalam tandas


BANDAR SRI SENDAYAN - Dua remaja berusia 15 dan 13 tahun ditangkap ketika sedang asyik berdua-duaan dalam sebuah tandas di kawasan kedai makan Medan Nusari, dekat sini, semalam.

Difahamkan, perlakuan sumbang kedua-dua remaja terbabit disedari beberapa pelanggan kedai makan berkenaan kira-kira jam 10 pagi, semasa mahu menggunakan tandas tersebut yang terletak beberapa meter dari kedai dan berkeadaan sunyi.

Salah seorang pelanggan hanya mahu dikenali sebagai Rusydi, 35, berkata, pada mulanya, dia tidak mengesyaki apa-apa ketika melihat remaja lelaki dan perempuan menaiki motosikal bersama menuju ke kawasan tandas itu.

“Bagaimanapun, saya mula tidak sedap hati apabila mendapati motosikal dinaiki kedua-duanya masih berada di situ, sedangkan kelibat mereka langsung tidak kelihatan sejak 20 minit lalu.

“Pemeriksaan saya bersama rakan-rakan dalam tandas lelaki tidak menemui apa-apa. Namun, alangkah terkejutnya saya kerana ternampak dua pasang kaki dalam keadaan cukup rapat ketika menjengah dari bahagian bawah salah satu tandas wanita,” katanya.

Menurutnya, selepas dipaksa membuka pintu, mereka mendapati kedua-dua remaja terbabit sedang berada dalam tandas berkenaan dalam keadaan mencurigakan.

“Melalui penjelasan diberikan kedua-duanya, difahamkan remaja perempuan yang sedang menuntut dalam tingkatan satu itu berasal dari taman sekitar kawasan ini, manakala si lelaki pula datang dari Seremban Dua yang terletak lebih kurang 6.3 kilometer dari tempat kejadian.

“Mereka juga merayu agar tidak diserahkan kepada pihak berkuasa dan mengaku tidak akan mengulangi kesalahan sama pada masa akan datang,” katanya yang menjelaskan, ibu remaja perempuan itu sampai di lokasi lebih kurang 45 minit kemudian selepas dihubungi anaknya.

Katanya lagi, si ibu langsung tidak menyangka akan berlaku demikian, memandangkan anaknya ada meminta izin untuk keluar dengan alasan mahu pergi bersiar-siar.

Kekecohan juga hampir berlaku apabila bapa kepada remaja lelaki terlibat yang tiba beberapa minit kemudian, naik angin dan mengugut mahu memukul Sinar Harian yang cuba mendapatkan maklumat.

“Kau siapa? Jangan kurang ajar! Aku belasah kau nanti,” demikian herdik lelaki dalam lingkungan 40-an itu kepada Sinar Harian, semalam yang kemudiannya meminta maaf dan mengaku tertekan dengan perbuatan anaknya.

Tinjauan Sinar Harian, semalam mendapati, kedua-dua remaja itu diserahkan kepada ibu bapa masing-masing dan tidak membabitkan pihak berkuasa.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Nusari Aman 2 (Natra), Terence Santhanam Beh, 41, berkata, beliau hanya mengetahui insiden itu selepas dimaklumkan oleh beberapa penduduk.

“Kita kesal dengan kejadian sebegini, lebih-lebih lagi berlaku pada hari Jumaat yang mulia. Kita harap, ibu bapa akan dapat mengawasi anak-anak mereka bagi mengelakkan kejadian seperti ini berulang,” katanya.
Baca selengkapnya