19 Jun 2014

Perokok dari kalangan Remaja Usaha Membendung ditingkatkan

Penguatkuasaan perlu dipertingkatkan lagi bagi membendung perokok di kalangan remaja di negara ini, kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

Sehubungan itu, beliau berkata, penjualan rokok di kedai harus diperketatkan supaya tidak dijual kepada remaja dan mereka yang di bawah umur.

“Saya tahu banyak kedai yang tidak kisah langsung dan sanggup menjual kepada remaja yang di bawah umur. Di samping itu, penguatkuasaan dari segi rokok yang diseludup (secara haram) di mana ini masih lagi menjadi masalah besar. Saya difahamkan berbilion ringgit cukai tidak dapat dikutip kerana rokok diseludup.

“Rokok seludup ini didapati dijual di kedai dan warung yang tidak mempunyai lesen. Oleh kerana rokok seludup ini dijual pada harga yang murah maka ia menjadi tarikan kepada remaja,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan karnival kerjaya berfokuskan sektor 2014 anjuran TalentCorp Malaysia di Universiti Nilai di sini, kelmarin.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif TalentCorp Malaysia Johan Mahmood Merican dan Naib Canselor Universiti Nilai Prof Datuk Megat Burhainuddin Megat Abdul Rahman.

Beliau mengulas laporan kajian Kementerian Kesihatan semalam yang mendapati 23 peratus remaja berusia antara 15 hingga 18 tahun di negara ini merokok dengan jumlah perokok dalam kalangan gadis remaja meningkat pada kadar yang amat membimbangkan.

Menurut menterinya, Datuk Seri Dr S. Subramaniam, terdapat kira-kira 500,000 remaja merokok di negara ini, dengan membelanjakan jutaan ringgit untuk membeli rokok setiap hari.

Tabiat merokok dalam kalangan remaja jika tidak dibendung akan menjejaskan matlamat kerajaan untuk mengurangkan kadar perokok remaja kepada 16 peratus menjelang 2025.

Khairy berkata angka yang besar itu adalah satu kebimbangan sebab ia memberi kesan negatif kepada gejala sosial dan kesihatan.

“Pada pandangan saya selain daripada kesedaran dan pendidikan, penguatkuasaan perlu ditingkatkan lagi dalam menangani perkara ini,” katanya.

Mengenai karnival kerjaya itu, Khairy berkata beliau sentiasa menyokong karnival kerjaya yang dibuat oleh TalentCorp Malaysia sebab ini adalah cara terbaik mendedahkan mahasiswa kepada dunia kerjaya dan membuat persiapan sewajarnya.

“Usaha ini juga merupakan cara terbaik untuk kita wujudkan landasan supaya mahasiswa dapat melihat sendiri apa yang dikehendaki sektor swasta. Sebab banyak yang kita dengar siswazah tidak mendapat kerja yang sesuai dengan kelayakan mereka,” katanya.

Bagikan

Jangan lewatkan

Perokok dari kalangan Remaja Usaha Membendung ditingkatkan
4/ 5
Oleh

Subscribe via email

Suka dengan artikel di atas? Tambahkan email Anda untuk berlangganan.

"Komenlah secara Berhemah dan yang Membina"