26 Jun 2014

ISU SABAH / SARAWAK : Kerajaan Perlu Ambil Langkah Bendung Desakan Segelintir Pihak

Profesor Madya Datuk Dr Mohammad Agus 
KUCHING: Kerajaan pusat dan negeri perlu mengambil langkah segera sama ada mendidik, berdialog atau menggunakan undang-undang dalam membendung desakan segelintir pihak yang cuba membawa keluar Sabah dan Sarawak daripada Persekutuan Malaysia.

Penganalisis politik daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Profesor Madya Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff yang menjadi sasaran ‘serangan’ beberapa individu berhubung isu keluar Malaysia di media sosial baru-baru ini berkata, tindakan itu wajar diambil demi menjaga keutuhan bangsa dan Persekutuan Malaysia.

Bagaimanapun, Agus tidak mudah melenting dengan ‘serangan,’ sebaliknya membiarkan dinding Facebooknya dipenuhi dengan hujah-hujah berkaitan.

“Mendesak pemisahan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia adalah pandangan tidak patriotik yang cukup bahaya untuk kesatuan bangsa dan negara. Hal ini tidak boleh dibiarkan dan perlu dibendung segera,” katanya seperti dipaparkan di Facebooknya pada Khamis lepas sebagai mempertahankan kenyataannya sebelum ini.

Sebelum ini, Agus dikritik oleh beberapa individu selepas mengeluarkan kenyataan mereka yang mendesak Sabah dan Sarawak keluar Malaysia adalah golongan tidak patriotik terhadap Malaysia.

Agus yang agak terkenal dalam mengutarakan pendapatnya mengenai isu-isu semasa terutama politik di media sosial berkata lagi, dari negeri mana pun, semua rakyat perlu memiliki semangat kenegaraan yang kuat.

“This is our only land dan kita perlu bersama mempertahankan keutuhan dan kedaulatannya,” tegasnya.
Menurutnya, beliau sedih dengan komen-komen berkaitan kedudukan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia kerana ia menggambarkan ada rakyat yang tidak sayangkan negara.

“Mengapakah setelah hampir 51 tahun bersama, semangat kenegaraan kita masih tumpul? Mengapa masih ada (segelintir) rakyat Sabah dan Sarawak berasakan mereka adalah sebuah negara yang berasingan?

“Adakah kerana mereka membaca sejarah yang salah atau sejarah itu telah dipesongkan sehingga kita mencipta sejarah yang salah?,” ujarnya.

Beliau turut meminta segelintir individu agar tidak berlandaskan emosi dalam membincangkan kedudukan Sabah dan Sarawak sehingga menimbulkan rasa benci pada negara.

“Kita perlu ingat, kecewa pada kerajaan adalah berbeza dengan kecewa pada negara. Kita boleh kecewa dengan kerajaan, tetapi kita tidak boleh kecewa dengan negara kerana inilah satu-satunya tanah air yang telah kita huni dan tinggal di dalamnya sejak lahir,” katanya.

Agus turut menjelaskan kenyataannya sebelum ini bukan untuk menyamakan taraf sejarah antara Kelantan dengan Sabah dan Sarawak.

“Tetapi untuk menunjukkan sebagai sebuah negeri dalam Persekutuan Malaysia seperti mana juga Sabah dan Sarawak, jikapun ada perasaan tidak puas hati kepada kerajaan pusat, tetapi Kelantan tidak menuntut hak untuk berpisah,” jelasnya.

Setakat berita ini ditulis, status Facebook terbaharu Agus menerima 235 komen. Majoriti komen menyentuh mengenai hak-hak Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia.

Kenyataan Agus sebelum ini mengulas mengenai kewajaran Sabah dan Sarawak diberi jawatan Timbalan Perdana Menteri setiap satu, susulan gesaan Ketua Parti Reformasi Negeri (STAR) Sabah Datuk Jeffrey Kitingan.

Menerusi forum bertajuk Perjanjian Malaysia 1963 di Kuala Lumpur pada Ahad lepas, Jeffrey berkata gesaan itu adalah untuk membendung perasaan tidak puas hati rakyat Sabah dan Sarawak.

Lantaran itu, wujud perbahasan yang panjang lebar di Facebook Agus.

Sumber BORNEOPOST

Sebahagian petikan yang ada di WALL FB Profesor Madya Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff 
Antara Lontaran Pandangan Mengenai ISU SABAH KELUAR MALAYSIA

BENDUNG SEGERA SENTIMEN ANTI-PERSEKUTUAN
Membaca komen berkaitan dengan kedudukan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia membuatkan saya sedih, betapa dalam negara kita ini masih ada rakyat yang tidak sayangkan negara.
Mengapakah setelah hampir 51 tahun bersama, semangat kenegaraan kita masih tumpul? Mengapa masih ada rakyat Sabah dan Sarawak merasakan mereka adalah sebuah negara yang berasingan? Adakah kerana mereka membaca sejarah yang salah atau sejarah itu telah dipesongkan sehingga kita menciptakan sejarah yang salah?
Berdebat soal ini secara akademik tidak salah kerana kita bertanggungjawab untuk membetulkan sejarah yang salah. Tetapi berdebat soal ini secara emosi sehingga menimbulkan rasa benci pada negara adalah suatu pengkhianatan yang perlu segera dibendung.
Kita perlu ingat, kecewa pada kerajaan adalah berbeza dengan kecewa pada negara. Kita boleh kecewa dengan kerajaan, tetapi kita tidak boleh kecewa dengan negara kerana inilah satu-satunya tanah air yang telah kita huni dan tinggal di dalamnya sejak lahir. 
Saya memahami kekecewaan rakyat Sabah dan Sarawak. Tetapi kekecewaan itu, jika ada, bukanlah dengan cara untuk kita menunjukkan sikap benci pada negara. Jika kita kecewa dengan kerajaan, kita diberi peluang untuk memilih kerajaan setiap lima tahun sekali, maka gunakanlah hak politik itu untuk kita menukar kerajaan, bukannya dengan membangkitkan senitmen untuk meruntuhkan negara ini.
Sebagai rakyat, saya sedih apabila berlaku dua perkara ini. Pertama, ada usaha untuk memecah belahkan kesatuan negara. Dan kedua, ada usaha untuk meminta campur tangan negara luar bagi membawa perubahan kepada politik negara. Ini adalah negara kita, maka marilah kita bersama untuk menjaga kedaulatannya.
HATI SAYA DEKAT DENGAN SABAH
Saya mengenali negeri Sabah mulai tahun 1984 dan sejak itu saya jatuh hati dengan negeri ini. Saya telah menulis buku, artikel dan juga mengkaji hubungan pusat-negeri Sabah untuk ijazah kedoktoran falsafah saya. Dalam proses itu, saya telah meneliti ratusan rekod tentang penubuhan Malaysia baik di Arkib Negara mahupun di Public Record Office London. Intipati Perjanjian Malaysia dan lain-lain yang berkaitan dengan sejarah penubuhan Malaysia telah saya teliti dengan baik.
Memang ada perbezaan tafsiran antara Sabah dan Sarawak sebagai negeri yang menyertai Malaysia dengan sebagai dua buah wilayah yang membentuk Malaysia. Itu debat yang tidak berkesudahan.
Tetapi realitinya, hari ini perlembagaan telah menentukan Sabah dan Sarawak adalah dua buah negeri bersama-sama dengan 11 buah negeri yang lain dalam Persekutuan Malaysia. Maka, tidak perlulah lagi kita bercakap tentang Sabah dan Sarawak perlu berpisah dari Malaysia.
Jika pun mahu berpisah, bolehkah Sabah dan Sarawak memisahkan diri dari gagasan Malaysia ini? Hal ini telah dibahaskan oleh ramai sarjana tentang hak negeri untuk berpisah dalam sebuah negara persekutuan. Semua sarjana berpendapat negeri tidak ada hak untuk berpisah. Dan jika pun mahu berpisah, perlu diadakan melalui dua cara. Pertama, kedua-dua peringkat kerajaan negeri dan pusat mesti bersetuju untuk berpisah sepertimana yang kita lakukan dalam kes pemisahan Singapura. Dan kedua, kedua-dua pihak mesti bersetuju dengan referendum. Hal ini tidak boleh dilakukan sepihak.
Maka, sekarang ini kita telah bersama sejak tahun 1963. Saya bawa kes Kelantan bukan untuk menyamakan taraf sejarah antara Kelantan dengan Sabah dan Sarawak. Tetapi untuk menunjukkan sebagai sebuah negeri dalam Persekutuan Malaysia seperti mana juga Sabah dan Sarawak, jikapun ada perasaan tidak puas hati kepada kerajaan pusat, tetapi Kelantan tidak menuntut hak untuk berpisah. Itu sahaja yang saya cuba tonjolkan dalam tulisan yang lalu.
Mendesak pemisahan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia adalah pandangan tidak patriotik yang cukup bahaya untuk kesatuan bangsa dan negara. Hal ini tidak boleh dibiarkan dan perlu dibendung segera. 
Kerajaan pusat dan negeri perlu mengambil langkah segera sama ada mendidik, berdialog atau menggunakan undang-undang untuk menjaga keutuhan bangsa dan negara ini. Kita semua, dari negeri mana pun asal kita, perlu mempunyai semangat kenegaraan yang kuat. This is our only land dan kita perlu bersama mempertahankan keutuhan dan kedaulatannya. - Profesor Madya Dr Mohammad Agus Yusoff

Peringatan : ADMIN -djkupang.com hanya berkongsi info dan berita terkini kepada umum. Apa juga PANDANGAN atau KOMEN daripada pembaca TIDAK SEMESTINYA mewakili pandangan mahupun pendapat dari ADMIN -djkupang.com | Sebarang Pertanyaan, kekeliruan Email : info@djkupang.com

Bagikan

Jangan lewatkan

ISU SABAH / SARAWAK : Kerajaan Perlu Ambil Langkah Bendung Desakan Segelintir Pihak
4/ 5
Oleh

Subscribe via email

Suka dengan artikel di atas? Tambahkan email Anda untuk berlangganan.

"Komenlah secara Berhemah dan yang Membina"