KOTA KINABALU, (16 Jun) — Polis meminta orang awam terutama pekerja tapak pembinaan Taman Casa Uno di Batu 4, Jalan Utara Bypass, Sandakan tampil menyalurkan maklumat bagi merungkai siasatan kes kematian seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) dan seorang pengawal keselamatan di tapak pembinaan itu, semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, ACP Omar Mamah percaya terdapat saksi yang melihat kejadian itu tetapi bertindak melarikan diri. “Kita rayu saksi di tapak pembinaan itu tampil membantu polis bagi menjalankan siasatan lanjut kerana kita percaya ada saksi (pekerja pembinaan) yang tinggal di tapak pembinaan itu melarikan diri,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Omar berkata setakat ini, tiada tangkapan dilakukan dan tiada saksi tampil membantu polis.
Sementara itu, beliau menafikan kes itu mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas militan, sebaliknya siasatan awal mendapati punca kejadian itu kerana masalah keluarga.
Beliau berkata pihaknya percaya berkemungkinan berlaku pergelutan antara kedua-dua mangsa selain menemui empat kelongsong peluru di tempat kejadian.
Menurutnya, difahamkan pengawal keselamatan terbabit menampar anggota PGA itu ketika perbincangan mengenai masalah antara mereka pada 13 Jun lepas.
Dalam kejadian pada 11.30 pagi itu, mayat Koperal Madaini Awang, 40-an dari Batalion 15 PGA ditemui dengan kesan tembakan di kepala manakala mayat Ibni Hasyim, 65, mempunyai kesan tembakan di kepala dan bahu. — BERNAMA
Bagikan
Berita Sabah : POLIS MINTA SAKSI TAMPIL SIASAT KES KEMATIAN ANGGOTA PGA DI SANDAKAN
4/
5
Oleh
admin
"Komenlah secara Berhemah dan yang Membina"