KOTA KINABALU: Polis percaya pengurus syarikat ternakan ikan yang diculik di Pulau Baik, Lahad Datu pada Selasa lepas masih hidup.
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata setakat ini tiada tangkapan baharu dilakukan dan polis memberi jaminan akan menyelesaikan kes itu.
“Saya ingin yakinkan bahawa pihak polis akan memastikan keselamatan Sabah terjamin dan apa yang berlaku adalah kes terpencil (penyeludup minyak) dan penculikan yang berlaku baru-baru ini di Pulau Baik.
“Ada yang menganggap keselamatan Sabah terancam adalah tidak betul kerana kita bertindak cepat,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.
Terdahulu beliau menghadiri kejohanan golf bersama Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin sempena peringatan Hari Polis ke-207 Kontinjen Sabah yang disertai 104 pemain dekat sini.
Kelmarin, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin dilaporkan berkata polis tidak menerima sebarang permintaan wang tebusan daripada sekumpulan lelaki yang menculik pengurus syarikat itu.
Setakat ini, polis juga masih menyiasat motif sebenar kejadian culik itu.
Dalam kejadian Selasa lepas, lima lelaki bersenjata menculik Yang Zai Lin, 34, yang berasal dari Guangzhou, China kira-kira jam 2.45 pagi.
Sebulan yang lepas, seorang pelancong wanita rakyat China dan seorang pekerja resort rakyat Filipina diculik oleh sekumpulan lelaki di sebuah resort di Semporna. — Bernama
Bagikan
Polis percaya mangsa culik Pulau Baik masih hidup
4/
5
Oleh
admin